RAJA MUDA PERLIS ZAHIR BANGGA PENCAPAIAN KUIPS

RAJA MUDA PERLIS ZAHIR BANGGA PENCAPAIAN KUIPS

Majlis Santapan Malam Apresiasi Kakitangan Dan Pengurniaan Watikah Lantikan Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs)

 

Raja Muda Perlis zahir bangga pencapaian KUIPs

KANGAR 8 Mei – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, menzahirkan rasa bangga kerana Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) sehingga kini telah berjaya mengukir nama walaupun merupakan antara institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) Islam termuda di negara.

Baginda bertitah, KUIPs yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah terbukti menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan Perlis sejak lima tahun penubuhannya.

“Beta ucapkan terima kasih di atas segala khidmat bakti, sikap, dedikasi dan pengorbanan seluruh warganya. Ini kerana bagi membangunkan sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT) terutamanya swasta bukan sesuatu yang mudah.

“Dengan usia yang muda ini, beta telah dapat melihat KUIPs mempunyai kakitangan yang berjiwa dan berfikiran besar yang mahu dan mampu bersaing dengan IPTS lain di Malaysia dan momentum tersebut hendaklah dikekalkan,” titah baginda.

Demikian titah baginda di Majlis Santapan Malam Apresiasi Kakitangan Dan Pengurniaan Watikah Lantikan Lembaga Pengarah Universiti (LPU) KUIPs, 2018 di sebuah hotel di sini malam tadi.

Keberangkatan baginda disambut oleh Pengerusi LPU, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said dan Timbalan Pengerusinya, Prof Emeritus Datuk Dr. Ir. Kamarudin Hussin.

Tuanku Syed Faizuddin Putra seterusnya turut memuji kepimpinan pengerusi beserta ahli LPU KUIPs lain yang turut memainkan peranan membantu menaikkan imej KUIPs.

Majlis tersebut turut meraikan perpisahan Rektor KUIPs, Prof Madya Dr. Mohd. Mizan Mohammad Aslam yang akan kembali bertugas di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) setelah lima tahun dipinjamkan ke KUIPs.

Baginda mengucapkan selamat maju jaya kepada Mohd. Mizan yang telah memberikan sumbangan besar dalam membangunkan KUIPs.

Baginda turut yakin bahawa KUIPs akan terus maju dengan ‘batu asas’ yang telah diletakkan Mohd. Mizan serta mendoakan beliau akan lebih berjaya di masa akan datang. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/raja-muda-perlis-zahir-bangga-pencapaian-kuips-1.668540#ixzz5S5KDBsGJ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *