KUIPs BERSAMA PENEROKA FELDA CHUPING

CHUPING, 4 OGOS 2024 – Warga Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) turun padang untuk bersama penduduk pada 3 dan 4 Ogos lalu sempena Program Semarak Merdeka Komuniti Madani 2024.

Majlis ini lebih bermakna dengan kehadiran Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail untuk berangkat menyempurnakan program Semarak Merdeka Madani 2024 yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Felda Chuping.

Terdahulu keberangkatan baginda disambut oleh Rektor KUIPs Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Perlis (Sektor Pengurusan Sekolah) Hamidi Saad.

Turut hadir sama adalah Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa dan Sektor Swasta (PIBKS), Reswan Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Encorp Berhad, Hj Hazurin Harun dan Pengarah Eksekutif Perak Transit Berhad, Datuk Cheong Peak Sooi.

Program dua hari itu telah dianjurkan oleh pihak KUIPs sebagai penganjur utama dan turut mendapat kerjasama daripada PIBKS serta komuniti Felda Chuping yang bertujuan untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan dan memperkukuhkan hubungan KUIPs, PIBKS dan komuniti setempat.

Antara program yang dianjurkan selama dua hari itu ialah pertandingan bola sepak, fun walk, pertandingan deklamasi sajak, kuiz kemerdekaan, ceramah merdeka, pertandingan gambar Merdeka Madani, sukaneka, penyampaian Bakul Kasih KUIPs dan beberapa aktiviti menarik lain.