Oleh: Hafizah Nor Hishamuddin
BANTEN, JAKARTA – 27 OGOS 2024 – Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universitas Muhammadiyah Tangerang (UMT) pada 27 Ogos 2024 dan disaksikan oleh wakil Rektor KUIPs Prof Dr Basri Ibrahim yang juga Timbalan Rektor Akademik bagi pihak KUIPs dan Dr Desri Arwen yang mewakili UMT.
MoU ini adalah untuk memperkukuhkan, mempromosi dan membangunkan kolaborasi akademik jangka panjang serta kerjasama penyelidikan antara kedua-dua pihak.
Dengan termeterainya memorandum ini, KUIPs dan UMT akan memberi fokus kepada kerjasama dan perkara yang menjurus kepada kemasukan pelajar, penyelidikan, penerbitan, pembangunan dan inovasi.
Bersempena dengan majlis ini sepuluh pensyarah dan pelajar pascasiswazah daripada Fakulti Perniagaan & Sains Pengurusan (FPSP) dan Fakulti Muamalat & Kewangan Islam (FMKI) KUIPs dan UMT sebagai panel turut menyertai Simposium Antarabangsa UM Tangerang dan KUIPs yang mengupas perbincangan bertemakan ‘Sustainable Development for Global Islamic Management and Finance’.
Simposium yang dianjurkan ini mengupas isu-isu, cabaran dan trend semasa di dalam pengurusan (Management), Governan (Governance) and Operasi (Operation) kewangan Islam.
Manakala topik-topik utama yang telah dibahaskan di dalam simposium ini termasuklah kelestarian kewangan Islam yang memberikan perubahan positif di dalam industri perbankan di peringkat global, cabaran dalam pelaksanaan kelestarian kewangan seperti pemenuhan keperluan pematuhan shariah, perundangan dan aplikasi serta pembangunan produk inovatif.