125 PELAJAR FAKULTI PENGAJIAN ISLAM KUIPs TERIMA ANUGERAH DEKAN

Oleh: Rohana Zainol

125 PELAJAR FAKULTI PENGAJIAN ISLAM KUIPs TERIMA ANUGERAH DEKAN

KANGAR, 27 OKTOBER 2024 – Seramai 125 pelajar Fakulti Pengajian Islam (FPI) Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) menerima Anugerah Dekan bagi Semester Februari dan September 2023/2024 di Dewan Serbaguna Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.

Pemangku Timbalan Rektor Akademik Prof Dr Basri Ibrahim menyampaikan anugerah ini.

Beliau dalam ucapannya berharap pelajar-pelajar yang menerima anugerah ini menjadi contoh terbaik kepada pelajar kampus ini.

‘Saya yakin kejayaan yang dicapai ini bukan sahaja dalam tahap akademik tetapi juga dalam sahsiah dan keperibadian masing-masing,’ sambung beliau lagi.

Penganugerahan ini menyaksikan 59 pelajar lelaki dan 66 pelajar perempuan masing-masing bagi peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

Sementara itu di majlis yang sama Pemangku Dekan Ustaz Mohammad Roshimi Abdullah turut menyampaikan ‘sharing moment’ bertajuk kemerlangan dan ketrampilan sahsiah.

Penganugerahan kali ini turut menampilkan anugerah baharu bagi pelajar terbaik dari setiap program dengan pencapaian cemerlang dua semester berturut-turut.

Seramai lima pelajar telah terpilih mengikut program masing-masing iaitu Auni Ameerah Yusli, Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam Dengan Kepujian, Muhammad Arif Zakaria, Ijazah Sarjana Muda Syariah (Ekonomi Islam) Dengan Kepujian, Puteri Nurul Faezzah Kiflee, Diploma Pengajian Islam, Aizullah Aman, Diploma Syariah dan Zaid Alhakeem Ahmad Farid, Diploma Bahasa Arab.