3 MAHASISWA PERLIS TERPILIH IKUTI PROGRAM PERTUKARAN PELAJAR KE JEPUN

3 MAHASISWA PERLIS TERPILIH IKUTI PROGRAM PERTUKARAN PELAJAR KE JEPUN

3 MAHASISWA PERLIS TERPILIH IKUTI PROGRAM PERTUKARAN PELAJAR KE JEPUN
 

KANGAR 26 Jan. – Seramai tiga mahasiswa dari negeri ini bertuah kerana telah terpilih untuk mengikuti Program Pertukaran Pelajar dan Belia Jepun-Asia Timur (Jenesys) 2018 anjuran Pusat Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICE).

Ketiga-tiga mereka yang merupakan ahli majlis perwakilan pelajar (MPP) di institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing itu terdiri daripada Noorulayuni Atiqah Yaacob, Nur Syafiqah Iman Khalil dan Nur Basirah Rasid.

Noorulayuni Atiqah yang berasal dari Arau kini berada di tahun tiga jurusan Bioteknologi Industri Universiti Malaysia Perlis (Unimap) manakala Nur Syafiqah Iman dari Kangar (tahun dua, jurusan Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis dan Nur Basirah dari Simpang Empat (tahun tiga jurusan Keusahawanan dan Pengurusan Perniagaan Kolej Universiti Islam Perlis-KUIPs).

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat bercemar duli menerima kunjungan mengadap hormat oleh ketiga-tiga mereka di pejabat baginda di Wisma Bumita, di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut hadir, Setiausaha Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd. Darus dan Rektor KUIPs, Dr. Mohd Mizan Mohamad Aslam.

Tuanku Syed Sirajuddin dalam pertemuan itu bertitah menasihatkan agar para mahasiswa tersebut memanfaatkan sepenuhnya pengalaman dengan menghayati dan membawa balik amalan baik hidup masyarakat di negara matahari terbit berkenaan khususnya seperti menepati masa dan bekerja dengan pantas dan tepat.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga merangkap Pengerusi YTSP Perlis pula bertitah meminta mereka membuat persiapan berkongsi pengalaman dalam program Titian Kasih yang bakal dianjurkan oleh pihak yayasan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), bermula Mac nanti.

Menurut Johari, program pertukaran pelajar tersebut dianjurkan oleh kerajaan Jepun melalui pihak Kedutaan Besarnya di Kuala Lumpur.

“YTSP Perlis telah diberikan mandat dan kepercayaan pihak kedutaan bagi menyelaraskan pencalonan peserta dari negeri ini,” katanya.

Seramai 22 mahasiswa dari Malaysia termasuk tiga daripada negeri ini bakal menyertai program bermula daripada 29 Januari hingga 6 Februari ini, yang akan melibatkan pelbagai program termasuk tinggal bersama keluarga angkat tempatan, melawat muzium-muzium dan mengunjungi beberapa wilayah di luar Tokyo.

Objektif utama program itu adalah untuk mempromosikan budaya hidup masyarakat di negara berkenaan kepada rakyat negara-negara lain seperti di Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Latin. – UTUSAN ONLINE

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/3-mahasiswa-perlis-terpilih-ikuti-program-pertukaran-pelajar-ke-jepun-1.597794#ixzz5SAJMSu2B

© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *