MAIPS GIAT BINA KEMUDAHAN UMAT ISLAM

MAIPS GIAT BINA KEMUDAHAN UMAT ISLAM

MAIPs giat bina kemudahan umat Islam
 

BANGKOK 20 Mac – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) giat melaksanakan pembangunan kemudahan untuk umat Islam di negeri berkenaan dan keseluruhan umat Islam.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pengurusan MAIPs buat masa ini sedang menumpukan usaha-usaha bagi merealisasikan beberapa projek pembangunan fizikal termasuklah bangunan wakaf MAIPs Pusat Perkhidmatan Hemodialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar yang akan dimulakan pada akhir bulan Mac 2018 ini.
Selain itu, titah baginda, pembinaan Kompleks MAIPs kini di peringkat perbincangan akhir dan penyerahan tapak akan dilaksanakan apabila kebenaran diperolehi.

“MAIPs juga dalam usaha membina pusat dakwah akan ditempatkan di kawasan komersial K-Park juga di Kangar,” titah baginda dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Pada masa yang sama, menurut baginda, proses penambahbaikan fizikal Unit al-Quran Wal-Qiraat Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di Guar Jentik bakal dilaksanakan melalui KUIPs yang bernaung di bawah MAIPs dalam tempoh masa yang terdekat.

Raja Muda Perlis kini dalam lawatan kerja di Bangkok dan berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs sebanyak RM1,000 kepada sekolah al-Quran yang dikendalikan oleh Masjid Ton Son Bangkok Nyai yang terletak di Jalan Wang Doem.

Mudirnya yang juga imam masjid tersebut Ustaz Datuk Paduka Dr. Fauzan Faizal menerima bagi pihak sekolah di Asia Hotel, Bangkok, Thailand malam semalam.

Sekolah agama tersebut menawarkan perkhidmatan bimbingan pengajaran kelas al-Quran kepada lebih 200 orang pelajar termasuk seramai 70 kanak-kanak.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Pengarah Jabatan Keselamatan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Zull Aznam Haron, Pegawai Perhubungan Pelanggan TNB Perlis Shahidan Zakaria dan bekas Pendaftar UniMAP Hj Rusli Abdul Hamid.

Tambah baginda yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs, dalam aspek teknologi maklumat pula, Jawatankuasa ICT MAIPs telah mewujudkan empat fasa tindakan transformasi laman portal MAIPs yang akan menjadi pemangkin kepada pengurusan digital MAIPs dalam masa terdekat ini. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/maips-giat-bina-kemudahan-umat-islam-1.631346#ixzz5S6NiSvJm

© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *