REKTOR KUIPS BERTUKAR KE UNIMAP

REKTOR KUIPS BERTUKAR KE UNIMAP

Prof. Madya Dr. Mohd. Mizan Mohammad Aslam
 

KANGAR 21 April – Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) bakal memperoleh seorang rektor baharu bagi menggantikan Prof. Madya Dr. Mohd. Mizan Mohammad Aslam yang akan bertukar ke Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berkuat kuasa pada 15 Jun ini.

Mohd. Mizan ketika dihubungi di China menerusi Whatapp hari ini mengesahkan perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Sehingga kini tidak dapat dipastikan pengganti Mohd. Mizan.

Pada 15 Mac lalu, kolej itu mengadakan sambutan ulang tahunnya di sebuah hotel di sini, yang berlangsung secara sederhana tetapi meriah dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis,Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merupakan Canselor KUIPs.

Selain daripada acara sambutan ulang tahun, turut diadakan Persidangan Antarabangsa Deradikalisasi (ICOD) 2018 – Strategi Menstruktur Semula Radikalisasi Dalam Melawan Keganasan.

KUIPs yang berada di bawah naungan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada masa ini menyewa sebuah bangunan milik majlis agama itu di Sungai Chuchuh, Padang Besar dekat sini dan Seberang Ramai, Kampung Wai, Kuala Perlis di sini.

Walau bagaimanapun KUIPs merancang untuk membina sebuah kampus tetap di atas sebidang tanah seluas 2.7 hektar di Mata Ayer di sini tidak lama lagi.

Untuk rekod, mempunyai seramai 564 orang pelajar dengan 10 peratus daripadanya adalah pelajar luar negara.

Bermula pengambilan bulan ini, KUIPs akan mempunyai seramai 64 orang pelajar antarabangsa berbanding 42 pada ketika ini iaitu dari Thailand, Indonesia, Uzbekistan, China dan Sierra Leone. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/rektor-kuips-bertukar-ke-unimap-1.655006#ixzz5S5LhURma
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *