
ARAU – 13 Julai 2024 (Sabtu) – Seramai 210 orang guru-guru sekolah rendah di sekitar Negeri Perlis telah menghadiri Seminar Pemantapan Al-Sunnah Dalam Kalangan Guru-guru Sekolah Rendah anjuran Fakulti Pengajian Islam (FPI), Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPNPs).
Program yang berlangsung di Dewan Kuliah 6 (LT6), Kompleks Star, UiTM Cawangan Perlis, Kampus Arau ini telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Abdul Basir Awang @ Ramli, Timbalan Rektor Akademik, KUIPs dan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
Program ini menampilkan empat orang Panel iaitu Prof. Dr. Basri Ibrahim, Dekan Fakulti Pengajian Islam, KUIPs, Prof. Madya Dr. Mohd Akram Dato’ Dahaman @ Dahalan, Universiti Utara Malaysia, Dr. Murizah Mohd Zain, Pakar Obstetrik & Ginekologi, Vistana Medical Centre dan Prof. Madya Dr. Raudlotul Firdaus Fatah Yasin, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Moga seminar yang dianjurkan ini dapat memberi impak positif kepada guru-guru dan persekitaran persekolahan dalam rangka mengangkat martabat penghayatan al-Sunnah dalam pemikiran dan mengaplikasikan prinsip al-Quran dan Sunnah dalam segenap aspek pendidikan.
