Ralat pangkalan data WordPress: [Duplicate entry '8388607' for key 'wp_visitors_stat.id']
INSERT INTO `wp_visitors_stat` (`time`, `ip`) VALUES ('1776331905', '54.37.118.80')

KOLEJ UNIVERSITI ISLAM PERLIS MARTABATKAN KESENIAN MELAYU MELALUI FESTIVAL KESENIAN, BAHASA & BUDAYA -

KOLEJ UNIVERSITI ISLAM PERLIS MARTABATKAN KESENIAN MELAYU MELALUI FESTIVAL KESENIAN, BAHASA & BUDAYA

KANGAR, 17 Jun 2023 – Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Perlis telah menganjurkan Festival Kesenian, Budaya dan Bahasa dengan satu matlamat iaitu untuk mengangkat martabat bahasa di samping meningkatkan kesedaran tentang kesenian dan kebudayaan negara.

Dengan tema “Citrawarna Pemangkin Ummah” dan “Perlis Kota Puisi,” festival yang julung kali diadakan ini berjaya mencungkil bakat-bakat baru dalam kalangan pelajar dan kakitangan KUIPs di mana mampu mendeklamasikan puisi- puisi dengan begitu baik sekali. Bukan itu sahaja, festival pada kali ini turut menampilkan YBrs. Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, Rektor KUIPs; Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs dan YBhg. Dato’ Rahman Shaari, Sasterawan Negara turut sama mendeklamasikan puisi masing-masing pada majlis penutup Malam Deklamasi Puisi.

Pemangku Raja Perlis berkenan menyampaikan Hadiah Piala Pusingan Jamalullail kepada pemenang.

Majlis yang berlangsung di Dewan Warisan Kangar ini turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang berkenan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Deklamasi Puisi Piala Jamalullail yang dimenangi oleh saudara M. Shahadat Ali Nordin dari Universiti Utara Malaysia yang membawa pulang RM900 berserta piala bagi tempat pertama, manakala tempat kedua dimenangi oleh saudara Mohd Faizal Mehat yang membawa pulang wang tunai bernilai RM700 dan tempat ketiga dimenangi saudari Wan Wafaa Wanda Mohd Zaidy dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang membawa pulang RM500.

Selain pertandingan deklamasi puisi, festival yang bertemakan pakaian tradisional Melayu ini juga turut dimeriahkan dengan persembahan teater dan tarian oleh Pusat Kebudayaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perlis, persembahan nasyid oleh Kumpulan Unite dan Kumpulan Simfoni, persembahan silat, pameran-pameran seperti Pameran Lukisan Khat, Pameran Buku, Pameran Permainan Tradisional, Pameran Busana Tradisional Melayu dan reruai Fotografi.


Turut hadir pada tersebut, Yang Berhormat Tuan Muhammad Azmir Azizan, EXCO Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis; Yang Berhormat Puan Wan Badariah Wan Saad, EXCO Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Perlis, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP; YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) KUIPs; Encik E Pian A/L Pro Paul, wakil DBP Wilayah Utara dan Tuan Naharudeen Othman, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Views: 1