FORUM HAL EHWAL ISLAM KUIPs DAN UNIVERSITI FATONI, THAILAND DAPAT SAMBUTAN RAMAI

PATTANI THAILAND, 6 September 2023 – Lebih 1000 orang menyaksikan siaran secara langsung melalui aplikasi Facebook Live dan hadir di Masjid AlHaramain Universiti Fatoni, Thailand untuk mendapatkan ilmu berkaitan harmoninasi dalam pengamatan agama Islam anjuran Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Universiti Fatoni.

Forum ini telah menampilkan panel yang terdiri daripada Rektor KUIPs, Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dan Pendakwah Bebas, Sheikh Wan Syukri Wan Ismail serta moderator Prof. Dr. Muhamad Amin Koya.

Panel yang menjayakan forum di Masjid AlHaramain Universiti Fatoni, Thailand.

Program yang diadakan selepas solat maghrib itu telah bermula pada jam tujuh malam (waktu Thailand) dan dihadiri oleh staf, pelajar universiti serta penduduk di sekitar kawasan tersebut.

Melalui penganjuran program seperti ini diharap ianya dapat mendekatkan hubungan di antara KUIPs yang kini telah menjangkau usia 10 tahun dengan institusi-institusi pendidikan di luar negara khususnya di Selatan Thailand.

Selain itu, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat setempat tentang konsep harmonisasi dari perspektif Islam di samping mewujudkan kesedaran tentang peranan setiap individu dalam kehidupan sebagai seorang Muslim.

Justeru itu, pihak KUIPs akan terus komited untuk menganjurkan forum, dialog dan diskusi ilmiah agar dapat meningkatkan kefahaman kepada masyarakat tentang pengamatan dalam agama Islam.