
KUALA PERLIS, 20 September 2023 – Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan (FPSP) Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dengan kerjasama Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah menganjurkan Program Pemerkasaan Kemahiran ICT: Microsoft Word & Microsoft Excel bersama 49 pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Suleiman, Beseri baru-baru ini.
Melihat pentingnya penekanan ilmu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kalangan pelajar pada hari ini, maka wajarlah ilmu berkaitan ICT ini didedahkan sejak dari awal lagi.
Dengan inisiatif penganjuran program seperti ini, pelajar yang hadir dapat mengasah kemahiran dan mempelajari dengan lebih mendalam lagi ilmu pengkomputeran bagi peringkat permulaan ini.
Bukan itu sahaja, penekanan kepada kemahiran yang diajarkan pada program ini juga sebenarnya amat penting dalam membantu pelajar menghasilkan teknik penulisan pelaporan kerja kursus ataupun tugasan dengan lebih baik.

Program yang berlangsung selama satu hari di Makmal Komputer KUIPs ini telah menampilkan dua orang pensyarah dari KUIPs yang mempunyai kepakaran dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) iaitu Pengarah Pusat Teknologi Pengajaran dan Pembelajaran (CUTLTC), Mohd Zaki Shahabuddin dan Ketua Jabatan IT FPSP, Izwan Nurli Mat Bistaman sebagai panel yang berkongsi pengalaman dan menjadi tenaga pengajar pada hari itu.
Selain perkongsian berkaitan ICT, pihak FPSP juga turut mengambil kesempatan mempromosikan KUIPs melalui slot “Jom Masuk FPSP” termasuk memberi pendedahan berkaitan kursus-kursus pengajian yang ditawarkan di sini.
Penganjuran program ini secara tidak langsung telah menghasilkan satu nilai kerjasama serta mengeratkan tautan ukhuwah di antara pihak KUIPs sebagai Institusi Pengajian Tinggi bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Suleiman.
Views: 1
