DIAMBANG SYAWAL

KUALA PERLIS – Aidilfitri akan menjelang beberapa hari lagi setelah Umat Islam berpuasa di bulan Ramadan.

Sempena menyambut Syawal pihak Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) telah mengatur program bagi pelajar antarabangsa khususnya mendalami dan mempelajari cara membakar kuih sepit dan menganyam ketupat.

Rektornya Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata, peluang yang diberikan ini diharap memberi gambaran dan perkongsian budaya dengan penduduk Kampung Warna-warni di Kuala Perlis ini.

Katanya, kedudukan kampus berdekatan kampung ini dan hubungan dengan penduduk juga memudahkan program ini di atur.

‘Saya yakin 150 pelajar antarabangsa yang tidak pulang untuk berhari raya bersama keluarga mereka akan turut merasakan kemeriahan aidilfitri dengan program yang di atur ini,” ujarnya.

Sambung beliau, pihak KUIPs juga menyediakan jamuan raya kepada mereka selepas solat aidilfitri di kedua-dua surau di kampus Kuala Perlis dan Pauh nanti.

Sementara itu beberapa pelajar antarabangsa yang ditemui gembira dan mengucapkan terima Kasih kepada KUIPs kerana telah mengatur program ini.

Amgad Nabil dari Yaman yang ditemui berkata, peluang yang diberikan untuk membakar kuih sepit dan menganyam ketupat bersama rakan-rakan lain sesungguhnya memberi pengalaman baru kepada mereka.

‘Pastinya kenangan manis di aidilfitri ini akan dijadikan memori hidup saya ketika menyambung pengajian disini,’ ujarnya dalam hantaran whatsApp kepada pihak KUIPs.

Manakala Sediqi Sediqullah dari Afghanistan pula yang ditemui amat gembira kerana walaupun pada awal Ramadan terasa suasana Aidilfitri diperantauan namun dengan program yang di atur ini memberikan kegembiraan kepada mereka yang tidak pulang untuk berhari raya pada tahun ini.

‘Pemakluman rektor mengenai jamuan raya juga pastinya aidilfitri kali ini memberi kegembiraan kepada bukan sahaja pelajar antarabangsa malah tempatan yang tidak pulang beraya,’ sambungnya lagi.

Bagi Badr Aseel dari Yaman peluang membakar kuih sepit bersama-sama rakan dari Somalia, Chad dan Sudan merupakan pengalaman baru yang dipelajarinya dari Rosilawati Yaakob penduduk Kampung Hujung Tanjung.