837 GRADUAN KUIPs AKAN TERIMA IJAZAH DAN DIPLOMA 23 NOVEMBER INI

Oleh: Samsudin Oli Mohamed

837 GRADUAN KUIPs AKAN TERIMA IJAZAH DAN DIPLOMA 23 NOVEMBER INI

KUALA PERLIS, 20 November 2024 – Seramai 837 graduan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) akan menerima Ijazah dan Diploma masing-masing pada 23 November 2024 di Dewan 2020 Kangar, Perlis.

Rektor KUIPs Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata, Istiadat Konvokesyen kali ke-7 KUIPs ini akan disempurnakan oleh Canselor KUIPs Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Katanya, konvokesyen kali ini akan menyaksikan 379 Graduan dari Fakulti Al-Quran dan Sunnah, Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan, Fakulti Maklumat dan Kewangan Islam dan Fakulti Pengajian Islam akan menerima Ijazah (2024, 2021 dan 2020).

Manakala 458 graduan dari Fakulti Al-Quran dan Sunnah, Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan, Fakulti Muamalat dan kewangan Islam dan Fakulti Pengajian Islam akan menerima Diploma mereka masing pada sesi petang.

‘Konvokesyen kali ini juga akan menyaksikan seorang Penerima Anugerah Ijazah kehormat Doktor Pengajian Islam, dua graduan menerima Anugerah Canselor (Martabat Al-Syaraf Al-Ula), lima penerima Anugerah Rektor, empat penerima Anugerah Khas Kokurikulum Imtiyaz Khas, seorang penerima Anugerah terbaik Diploma dan dua penerima Anugerah Graduan Terbaik Kokurikulum,’ katanya dalam Sidang Media yang diadakan di Galeri universiti ini petang tadi.

Sempena dengan konvokesyen kali ini juga seramai 28 pelajar antarabangsa dari sembilan negara akan menerima Ijazah dan Diploma masing iaitu iaitu 24 graduan menerima Ijazah dan empat graduan akan menerima Diploma.

Graduan luar negara yang akan menerima Ijazah dan Diploma kali ini ialah dari Indonesia (12), Thailand (8) dan masing-masing seorang dari Ghana, Myanmar, Mali, Tunisia, Cambodia, Bangladesh dan Vietnam.
Dalam pada itu bagi memeriahkan konvokesyen kali ini Festival Konvokesyen juga akan berlangsung selama dua hari pada 22 dan 23 November 2024 di Perkarangan Dewan 2020 Kangar, Perlis.

Antara booth-booth jualan yang disediakan termasuk booth makanan, minuman, penjualan buku, bunga dan juga studio foto untuk pengunjung mengabadikan kenangan sempena konvokesyen kali ini.