KUIPs TERIMA KUNJUNGAN DARI RABITAH PERSATUAN SEKOLAH AGAMA SWASTA DI WILAYAH ANDAMAN THAILAND

Oleh: Samsudin Oli Mohamed

KUIPs TERIMA KUNJUNGAN DARI RABITAH PERSATUAN SEKOLAH AGAMA SWASTA DI WILAYAH ANDAMAN THAILAND

PAUH, 13 November 2024 – Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) menerima kunjungan delegasi dari Rabitah Persatuan Sekolah Agama Swasta di Wilayah Andaman Selatan Thailand.

Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Global KUIPs Prof Dr Asyraf Isyraqi Jamil berkata, kunjungan delegasi ini adalah kunjungan balas daripada Program Mahabbah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diketuai oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak Sivil MAIPs ke Wilayah Phang Nga dan Phuket, Thailand pada 26 hingga 28 April 2024 lalu.

Beliau yakin dengan kunjungan ini kedua belah pihak dapat mengeratkan lagi hubungan antara universiti ini sesama mereka.

Katanya pelajar-pelajar dari sekolah yang hadir ini boleh melanjutkan pengajian disini dengan biasiswa yang ditawarkan.

‘Mereka boleh memohon Biasiswa Pendidikan Tinggi MAIPs-KUIPs iaitu biasiswa penuh pengajian yang ditawarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs),’ ujar beliau lagi.

Dalam pada itu wakil dari tujuh sekolah yang hadir Azmee Madteh berkata, dengan kunjungan ini mereka mendapat gambaran dengan jelas mengenai peluang pengajian disini termasuk biasiswa yang ditawarkan disini.