IBU AYAH PEJUANG KEJAYAAN ANAK-ANAK – REKTOR

Oleh: Samsudin Oli Mohamed

IBU AYAH PEJUANG KEJAYAAN ANAK-ANAK – REKTOR

KANGAR – Ramai graduan, ibu bapa dan pensyarah dilihat sebak dan mengalirkan air mata apabila mendengar ucapan dari Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).

Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle yang memberikan penghargaan kepada puncak kejayaan graduan yang hadir sempena Istiadat Konvokesyen kali ke-7 di Dewan 2020 Kangar.

‘Anak-anak hari ini mungkin berada di puncak kejayaan, namun sedarkah kita, bahawa ada insan yang tidak pernah sedetik tidak mengirimkan doa, buat para pahlawan mereka yang sedang berjihad di jalan ilmu, tika mereka mengikat perut membanting tulang, tika mereka menangis kerana kurang, tika mereka hiba kerana tidak pasti akan masa hadapan, tapi mereka tetap dengan usaha dan berjuang untuk kalian. Inilah mereka, insan bergelar Ibu dan Ayah yang sentiasa ada untuk anak-anak sekalian,’ ujar beliau.

Beliau berpesan kepada graduan yang menerima Ijazah dan Diploma ini menebarkan bakti sebagai du’at berwawasan dan jangan sekali mereka lupa pengorbanan kedua-dua insan ini.

Bagi warga universiti ini pula beliau berpesan supaya mencorakkan anak-anak yang memilih UniSIRAJ ini dengan warna kecemerlangan agar suatu hari nanti bakal-bakal pemimpin negara ini akan membejat kejahilan dan membersihkan karat-karat jahiliah.

Di akhir ucapan beliau memohon semua graduan dan warga kerja universiti ini untuk bangun sambil menghadap ibu bapa dalam dewan itu sambil mengucapkan terima kasih ibu dan ayah.