
KUALA LUMPUR, 30 Oktober 2023 – Mahasiswi Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Maryam Razali yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Hadith dari Fakulti Al-Quran & Sunnah telah meraih gelaran Naib Johan bagi kategori Hafazan 1-30 Juzuk (Perempuan) pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan (MTHQWP), baru-baru ini.
Majlis yang berlangsung selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Oktober 2023 ini menyaksikan 35 orang peserta telah bertanding dalam kategori Hafazan Al-Quran bagi tiga kategori berbeza iaitu Kategori 1 (1-10 juzuk), Kategori 2 (1-20 juzuk) dan Kategori 3 (1-30 juzuk).
Mengangkat tema memartabatkan kitab suci Al-Quran sebagai panduan dan rujukan umat Islam, MTHQWP pada tahun ini tampil berbeza dengan pembaharuan format persembahan melalui slot ‘Ibrah’ Al-Quran yang disertakan dengan visual 3D sebaik sahaja peserta selesai menyempurnakan bacaan mereka.

Selain Kategori Hafazan, MTHQWP pada kali ini turut mendapat 14 penyertaan bagi Kategori Tilawah yang disertai oleh wakil daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta seorang Johan Qari Menunggu dan Johan Qariah Menunggu.
Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar.
Turut hadir pada majlis tersebut, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Haji Mohd Ajib Ismail dan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman Haji Abdullah.
