
KANGAR – Seramai 16 ahli akademik daripada Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) masing-masing sembilan orang diumumkan pemenang kategori Pembentangan Terbaik dan tujuh orang lagi berjaya merangkul hadiah bagi kategori Kertas Penyelidikan Terbaik.
Manakala pemenang-pemenang utama lain yang turut memenangi hadiah ialah bagi kategori Outstanding Award KUIPs Innovation, Invention & Design (KIID2023) ialah pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Derma bagi kategori sekolah rendah dan menengah manakala bagi kategori pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pula ialah pelajar dari Kolej Vokasional Kangar dan kategori akademik dan profesional dari pensyarah KUIPs.
Majlis perasmian The 3rd International Conference on Islamic Contemporary and Management (3rd ICICM 2023) bertemakan “Sustainability Initiatives in Emerging Economies: Business, Management, and Islamic Contemporary” ini dirasmikan oleh Rektor KUIPs, Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle.
Program anjuran Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan (FPSP) KUIPs ini turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah KUIPs Sahibus Samahah Prof Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam ucapannya Dr Muhamad Rozaimi melahirkan rasa terharu dengan penyertaan dan sokongan dari peserta sekolah rendah, menengah, pelajar IPT, staf akademik dan professional yang menyertai program julung kali yang dianjurkan ini.
Katanya, sambutan ini bukan sahaja dilihat sebagai program bagi KUIPs malah dilihat memberi gambaran isu yang penting dalam masyarakat dan negara pada hari ini perlu diangkat dalam perbincangan akademik seperti ini.
Moga hasilnya memberi manfaat kepada masyarakat, negara dan dunia yang sedang mengalami perubahan ekonomi di luar jangkaan.
Beliau menambah dalam proses globalisasi kini pastinya perlu mengemas kini ilmu yang sedia ada dalam bidang kepakaran masing-masing dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan ilmu yang sedia ada menjadi ketinggalan zaman serta tidak dapat membantu dalam pembangunan modal insan sesebuah negara.
“Di harap persidangan seperti ini menjadi platform terbaik dan mampu membawa idea inisiatif kemampanan dalam pertumbuhan ekonomi di bawah satu bumbung untuk dibincangkan dan dibahaskan oleh pembentang juga” sambung beliau lagi.
