
KUALA LUMPUR, 25 November 2023 – Mufti Perlis, Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Bin Zainul Abidin melancarkan Ikon dan Sahabat KUIPs dalam majlis makan malam yang dianjurkan oleh Kolej Universiti Islam KUIPs.
Seramai 20 orang tokoh agama, pendakwah, selebriti, ahli akademik, pempengaruh ‘influencer’ dan ahli perniagaan diperkenalkan sebagai Ikon dan Sahabat KUIPs dalam usaha menyebarluas jenama KUIPs di peringkat nasional dan antarabangsa sebagai sebuah institusi pendidikan terkemuka.
Dalam perkongsian oleh Dr Asri, beliau memberitahu bahawa KUIPs merupakan institusi penting dalam melahirkan bakal pendakwah dan teknokrat dalam arena dakwah negara. Sehubungan itu, Ikon dan Sahabat KUIPs diharapkan dapat menjayakan hasrat tersebut.
Dalam pada itu, Profesor Dr Muhamad Rozaimi Bin Ramle, Rektor KUIPs yang bertindak sebagai penganjur utama majlis merakamkan penghargaan buat seluruh Ikon dan Sahabat KUIPs atas komitmen dan sokongan berterusan kepada KUIPs.
KUIPs merupakan sebuah institusi pendidikan yang menawarkan biasiswa penuh bagi calon berkelayakan dengan penajaan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
