MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA 140 GURU KAUNSELING PERLIS DI KUIPs

Oleh: Samsudin Oli Mohamed

KUALA PERLIS – 23 OGOS 2024 – Seramai 140 Guru Kaunseling berpeluang untuk bertemu dengan pihak Pengurusan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di Auditorium pagi tadi.

Rektor KUIPs Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle dalam pertemuan itu turut mengalu-alukan kehadiran mereka ke kampus ini dan memaklumkan mengenai penawaran pengajian Skim Belajar Tanpa Bayar (BTB) kepada pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Agama Tinggi Malaysia (STAM) untuk sesi pengajian September 2024.

Katanya, biasiswa penuh kepada mereka yang layak ini termasuk yuran pendaftaran, pengajian, yuran pentadbiran dan elaun sara diri sebanyak RM300 sepanjang tempoh pengajian.

“Bukan sahaja pendidikan yang berkualiti disini tetapi juga mereka dapat akses kemudahan moden dan pelbagai aktiviti kokurikulum serta pastinya akan mendapat pengalaman yang menyeluruh,” ujar beliau lagi di Auditorium KUIPs sempena hari terbuka universiti pada 22 dan 23 Ogos 2024.

Beliau menambah di universiti ini pelajar yang terpilih akan ditawarkan Biasiswa Pendidikan Tinggi MAIPs-KUIPs yang merupakan biasiswa penuh pengajian oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian nanti,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu beliau juga memaklumkan mengenai syarat permohonan untuk pengajian juga bagi sesi akademik untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ialah minima tiga kredit, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) minima 2.0 dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pula syarat minimanya hanya Maqbul.

Oleh itu beliau berharap semua guru MGK yang hadir ini dapat memaklumkan berita gembira ini kepada pelajar-pelajar mereka nanti.

Sementara itu sempena Hari Terbuka yang di adakan ini memberi peluang kepada penduduk setempat dan pelajar sekolah untuk mendapatkan maklumat peluang pengajian sambil mendapatkan rawatan percuma dan membeli barangan yang ditawarkan melalui Jualan Agro Madani, barangan elektrik dan khidmat nasihat guaman syariah, slot ‘Anda Tanya, Kami Jawab’ mengenai status hadis nanti dan penjualan makanan dan minuman juga.

Di kesempatan ini pelajar dari beberapa buah sekolah juga turut hadir bagi memeriahkan hari terbuka ini.