Oleh: Samsudin Oli Mohamed
KUALA PERLIS – 29 OGOS 2024 – Seramai 27 pelajar tingkatan enam dan empat guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Alawiyah Kangar mengadakan lawatan ke Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) pagi ini.
Penolong Kanan tingkatan enam sekolah ini Norhayati Mokhtar berkata, kunjungan mereka ke sini untuk mendengar taklimat mengenai program yang ditawarkan oleh universiti ini.
Program anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Pengurusan Tingkatan Enam ini ialah untuk memberi pendedahan kepada pelajar mereka mengenai peluan pendidikan pengajian di kampus ini.
Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Pengajian Islam Dr Muhammad Muthi’ul Haqq Fatah Yasin telah memberi taklimat dan penerangan mengenai syarat kemasukan, biasiswa dan wang sara diri sebanyak RM300 yang diberikan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian disini.
Dalam pada itu Ketua Bahagian Pemasaran Nur Syaedah Kamis ketika ditemui berkata pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) masih berpeluang untuk mendaftar bagi kemasukan sesi September 2024 ini.
Manakala sekolah yang ingin mendapatkan penerangan lanjut mengenai pengajian di kampus ini pula boleh menghubungi bahagiannya untuk temu janji samada mengadakan lawatan ke kampus ini atau mohon pegawainya memberi taklimat kepada sekolah yang berminat untuk menganjurkannya nanti.