40 STAF KUIPs TERIMA APRESIASI STAF 2023

Oleh: Samsudin Oli Mohamed

KANGAR 3, SEPTEMBER 2024 – Seramai 40 kakitangan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) menerima Anugerah sempena Majlis Apresiasi 2023 di Hotel Putra Regency, Kangar pada 3 September 2024.

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, merangkap Canselor Kolej Universiti Islam Perlis dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil perkenan menyampaikan penganugerahan kepada penerima yang menunjukkan pencapaian cemerlang sepanjang 2023.

Titah baginda pencapaian ini merupakan bukti nyata daripada dedikasi, usaha keras, dan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap institusi ini.

Baginda dalam titah ucapan yakin penganugerahan ini bukan sahaja mengiktiraf kejayaan peribadi, tetapi juga merupakan inspirasi kepada semua kakitangan untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.

Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak pencapaian hebat di masa hadapan.

Terdahulu Pemangku Timbalan Rektor Akademik Prof Dr Basri Ibrahim yang mewakili Rektor KUIPs Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle membacakan teks ucapan berkata, sebanyak lapan anugerah diperkenalkan pada tahun ini termasuk dua anugerah baru yang diwujudkan iaitu Anugerah Cemerlang Staf Akademik Dalam Skop Penyelidikan dan Inovasi dan Anugerah Penjawat Cemerlang.

Bagi Anugerah Cemerlang Staf Akademik Dalam Skop Penyelidikan dan Inovasi yang diperkenalkan adalah bagi memberi pengiktirafan dan motivasi yang berharga atas usaha individu yang memacu kemajuan dalam bidang akademik, penyelidikan dan inovasi di kampus ini.

Katanya bermula 2019 pihaknya telah menetapkan hala tuju KUIPs yang baharu bagi Teras Dua Pelan Strategik iaitu Penyelidikan Berimpak dan Berkualiti menjelang 2025.

“Alhamdulillah, sehingga tahun 2023 kita telah meraih pelbagai kejayaan menerusi pemerolehan geran penyelidikan Dana Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), geran penyelidikan dana Antarabangsa, projek-projek perundingan yang berjumlah lebih daripada RM100,000,” sambung beliau.

Beliau menambah melalui dana-dana geran penyelidikan yang telah diperolehi, KUIPs berjaya menghasilkan penerbitan ilmiah berindeks SCOPUS, WoS, ERA, berwasit serta kertas-kertas polisi sebanyak 402 penerbitan.

Tambahnya lagi, penerbitan-penerbitan yang dihasilkan juga adalah kolaborasi bersama pihak industri, institusi luar negara terutamanya Asia Tenggara yang telah menonjolkan bidang kepakaran KUIPs serta keterlihatan KUIPs di peringkat global.

Dalam pada itu pada tahun 2022 juga buat pertama kalinya, KUIPs berjaya melayakkan diri untuk menerima satu bintang bagi Penilaian Penyelidikan Malaysia atau Malaysian Research Assessment (MyRA) selain kemajuan bidang penyelidikan dan inovasi yang ditonjolkan dengan penganjuran International Conference dan KUIPs Innovation, Invention & Design Competition (KIID2023).

Beliau juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua staf akademik yang berjaya membawa nama KUIPs ke seluruh Asia Tenggara dan Timur Tengah melalui projek perundingan dan khidmat pakar rujuk serta pembentangan kertas kerja di Persidangan Antarabangsa dan Simposium.

Pastinya semua kejayaan ini juga adalah hasil perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang telah menggariskan pelbagai inisiatif menerusi Pelan Strategik MAIPs 2021-2025 dan menyediakan Pelan Agihan Holistik MAIPs 2.0.

Melalui Pelan Agihan Holistik MAIPs 2.0, pengagihan yang diterima oleh pihak KUIPs seperti peruntukan tahunan sebanyak RM138.9 juta, Biasiswa Pengajian Tinggi MAIPs-KUIPs sebanyak RM55 juta, pembiayaan yuran sara hidup pelajar sebanyak RM19.5 juta dan pembangunan kampus tetap sebanyak RM299 juta sejak 2021 sehingga kini, sebanyak 1,300 orang pelajar telah menerima Biasiswa Pengajian Tinggi MAIPs-KUIPs untuk melanjutkan pengajian di sini selain daripada penganjuran seminar antarabangsa di bawah Pelan Agihan Holistik MAIPs.

Anugerah Penjawat Cemerlang yang baru diperkenalkan pada tahun ini katanya adalah satu bentuk pengiktirafan yang penting untuk mendorong kecemerlangan, memotivasi, dan menghargai Ketua Jabatan dalam memastikan perkhidmatan di jabatan masing-masing berfungsi dengan efektif dan berkualiti tinggi.

Dalam pada itu beliau juga mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak MAIPs, Lembaga Pengarah KUIPs dan Lembaga Pengarah Universiti atas sokongan padu yang telah diberikan kepada KUIPs samada dalam bentuk tadbir urus dan aliran peruntukan kewangan yang berterusan bagi menguatkan kedudukan dan operasi KUIPs agar menjadi manifestasi kepada penghayatan dan pengamalan prinsip-prinsip Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan kita semua.

Majlis ini dihadiri oleh Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah KUIPs bersama isteri, Prof Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti KUIPs dan isteri, Ahli-ahli Lembaga Pengarah KUIPs, Ahli Lembaga Pengarah Universiti KUIPs, Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif (EXCO) KUIPs, Pegawai-pegawai Kanan, Dekan-Dekan dan Ketua-Ketua Jabatan.

Di majlis ini Rektor KUIPs Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle di umumkan penerima Anugerah Geran Penyelidikan Antarabangsa, Anugerah Sitasi Tertinggi dan Anugerah Pakar Rujuk manakala Muhamad Husni Hasbullah menerima Anugerah Geran Penyelidikan Kebangsaan.

Bagi Anugerah Perunding Cemerlang pula ialah Muhammad Haziq Hassan, Anugerah Penerbitan Artikel Jurnal Berimpak Tinggi Prof Madya Dr Ahmad Shabudin Ariffin dan Anugerah Buku Terlaris: Buku Karya Asli pula Prof Dr Basri Ibrahim.

Penerima lain ialah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (14), Anugerah Pendidik Cemerlang (1), Anugerah Cemerlang Staf Akademik dalam Skop Penyelidikan dan Inovasi (7), Anugerah Pentadbir Cemerlang (5), Anugerah Sokongan Cemerlang (6), Anugerah Jabatan/PTj (1), Anugerah Fakulti Cemerlang (1) dan Anugerah Penjawat Cemerlang (5).