EMPAT STAF AKADEMIK KUIPs KE UNIVERSITAS ISLAM RIAU UNTUK MENGAJAR DAN BERKONGSI ILMU

Oleh: Norasliza Rojamil

EMPAT STAF AKADEMIK KUIPs KE UNIVERSITAS ISLAM RIAU UNTUK MENGAJAR DAN BERKONGSI ILMU

RIAU INDONESIA, 4 November 2024 – Empat staf akademik Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) ke Universitas Islam Riau (UIR) untuk mengajar dan berkongsi ilmu melalui program Visiting Lecturer.

Program pertama kali yang dilaksanakan antara KUIPs-UIR ini melibatkan empat staf akademik iaitu Mohammad Roshimi Abdullah (Pemangku Dekan), Dr. Muhammad Muthi’ul Haqq Fatah Yasin (Timbalan Dekan Akademik dan Ehwal Pelajar) dari Fakulti Pengajian Islam, Prof. Madya Dr Yasir Ismail Radhi (Pensyarah) Fakulti Quran & Sunnah dan Dr Mohammad Dhiya’ul Hafidh Fatah Yasin (Dekan) Pusat Pengajian Siswazah.

Pensyarah yang terlibat ini ditugaskan untuk mengajar dan berkongsi ilmu pengetahuan kepada pelajar-pelajar di Universiti Islam Riau, Indonesia.

Kursus-kursus yang telah disampaikan oleh mereka ialah kursus Ibadah dan Muamalah, Asas-asas Pendidikan Islam, Tafsir dan Morfologi Lanjutan.

Selain itu pensyarah terlibat turut menyertai Seminar Antarabangsa FAI KUIPs bertemakan Islamic Wisdom in Contemporary Contexts: Bridging Tradition and Modern Society.

Aktiviti Sharing Knowledge bulanan bertajuk Jaminan Ilahi Untuk Selamat Daripada Azab Kubur juga diadakan dengan penglibatan semua pensyarah UIR.

Dalam pada itu penyebaran ilmu turut diluaskan lagi dengan penyampaian kuliah maghrib di masjid sekitar universiti itu dengan tajuk Sosiologi Dalam Surah al-Kahfi yang disampaikan oleh Dr. Mohammad Dhiya’ul Hafidh Fatah Yasin di Masjid al-Ittihad dan Sifat-sifat penuntut Ilmu pula disampaikan oleh Mohammad Roshimi Abdullah di Masjid al-Munawwarah UIR.

Manakala Sunnah Sebagai Benteng Umat Akhir Zaman pula disampaikan oleh Dr. Muhammad Muthi’ul Haqq Fatah Yasin di Masjid Fastabiqul Khairat.

Sementara itu dalam usaha mengeratkan hubungan kerjasama dua universiti satu perbincangan berkaitan program Mobiliti Berkredit, Dual Degree, penerbitan bersama, penganjuran seminar antarabangsa bersama dan penyelidikan bersama (Matching Grant) turut diadakan.

Sepanjang lapan hari di sana mereka juga turut mengadakan beberapa program dalam usaha mempromosikan KUIPs dengan mengadakan lawatan ke Pesantren, tempat bersejarah Istana Sultan Siak (Asserayah al-Hasyimiah) dan perjumpaan bersama Tokoh Dakwah Pekanbaru & Pengasas Maahad al-Uthaymin dan Maahad al-Fauzan.

Moga program sebegini akan diteruskan pada masa akan datang dalam usaha menyokong pembangunan pakar bidang di kedua-dua buah Universiti berkenaan serta membangunkan dan memperkasakan usaha-usaha pendidikan dan penyelidikan secara khususnya.